SHAH ALAM – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menyatakan beliau tidak dapat hadir ke mesyuarat pimpinan parti itu semalam, berikutan perlu menghadiri program kerajaan Persekutuan.
Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, tanggungjawab sebagai menteri yang dipikul, memerlukan dirinya membahagikan tugas sebagai pemimpin parti politik dan kerajaan.
“Kita perlu membawa mandat ini secara bersama. Jadi, ada kalanya tugas kerajaan yang perlu kita laksanakan, itu juga tanggungjawab kita.
“Sebagai tanggungjawab parti pun kita kena tunaikan juga, kita perlu lakukan kedua-duanya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau diminta mengulas isu ketidakhadirannya pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bulanan PKR di ibu pejabat parti itu semalam. – Bernama











