KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat mengakui teruja melakonkan watak wanita teraniaya yang berdepan dengan krisis mental menerusi drama bersiri terbaharu berjudul Cindai.
Ayda berkata, dia telah lama mengimpikan watak sedemikian setelah beberapa kali menjayakan watak komedi atau karakter yang menuntutnya untuk berendam air mata.
“Bagi watak kali ini, saya membawakan karakter pesakit mental dan juga bipolar.
“Jadi, bagi memantapkan penghayatan watak, saya banyak menonton filem-filem antarabangsa yang ada kaitan dengan masalah ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Dalam drama yang baru sahaja memulakan penggambaran semalam, watak Cindai yang dijayakan Ayda digambarkan sebagai seorang wanita yang tinggal dijalanan.
Bagi watak itu juga, Ayda turut disolek supaya kelihatan comot dan pakaiannya ketika di set penggambaran juga kelihatan kotor serta usang.
Bagaimanapun, pemenang bagi kategori Lagu Terbaik Malaysia di Anugerah Planet Muzik 2018 itu tidak mahu dilihat terlalu mencuba hingga watak tersebut dibawa secara berlebih-lebihan.
“Walaupun saya ada buat beberapa rujukan, namun saya tidak mahu terbawa-bawa dengan watak sedia ada.
“Biarlah jiwa watak tersebut hadir secara semula jadi,” jelas Ayda lagi.
Selain Ayda, drama 12 episod terbitan JS Pictures Sdn. Bhd. tersebut turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Syazwan Hassan, Raysha Rizrose, Fatin Afeefa dan Nazim Othman. – K! ONLINE











