KUALA LUMPUR – “KALAU ada yang betul-betul berminat, buat apa nak rebut-rebut. Kalau ramai yang berminat, eloklah kita beri peluang”.
Demikian jelas Tan Sri Annuar Musa mengenai pencalonan semula nama beliau sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan bakal berdepan dengan tiga lagi individu pada Kongres Agung Luar Biasa (EGM) persatuan itu, 6 Julai ini.
Beliau berkata, buat masa ini masih belum fikir mengenai pencalonannya itu selain tidak mengetahui calon-calon lain yang akan bertanding jawatan tersebut.
“Saya tak tengok lagi siapa calonnya, adakah mereka juga serius atau tidak? Saya banyak hal di Parlimen hendak difikirkan.
“Sesiapa yang jadi presiden kena tengok, cermin diri untuk memastikan mereka ada keupayaan untuk melaksanakan tugas. Tiada makna berebut-rebut jawatan tapi tak boleh melaksanakan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini. – UTUSAN ONLINE











