KUALA LUMPUR – Pelumba trek berbasikal wanita negara, Anis Amira Rosdi memastikan Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong dalam Grand Prix Citta di Velodrom Comunale di Ascoli Piceno, Itali selepas meraih gangsa keirin wanita semalam.
Pingat emas dimenangi pelumba Belgium, Nicky Degrendele manakala Sophie Capewell dari Britain membawa pulang gangsa.
“Alhamdulillah. Akhirnya berjaya dalam podium bagi acara keirin. Perlumbaan ulung di Itali,” kata pelumba berusia 21 tahun dari Perlis itu dalam Instagram hari ini.
Dalam acara pecut wanita pula, Anis Amira yang mewakili pasukan Sime Darby, Malaysia menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan.
Pingat emas dimenangi Capewell, diikuti pingat perak milik pelumba tuan rumah, Miriam Vece manakala pingat gangsa diraih Tania Calvo Barbero dari Sepanyol.
Sementara itu, dalam kategori lelaki, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang layak ke peringkat akhir selepas mencatat masa kelima terbaik menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh keseluruhan dalam acara pecut lelaki individu.
Pingat emas dimenangi Tjon En Fa dari Suriname, diikuti Jason Kenny (Britain) dan Aleksandr Dubchenko dari Rusia.
Dalam acara keirin lelaki, Muhammad Shah Firdaus sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-17 keseluruhan. – BERNAMA











