Kumpulan rock Alfarabi bukan sahaja mahu berkongsi muzik dalam kalangan masyarakat, malah banyak mesej kerohanian dan Islamik yang disampaikan oleh mereka melalui muzik.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 2009 ini membawa konsep muzik Islam yang bertenaga sesuai dengan mesej yang mahukan orang Islam terus bangkit dan menjadi lebih baik demi agama, bangsa dan negara.
Untuk itu, Alfarabi kini mengajar muzik di Pusat Tahfiz Motivasi Hamlatul Quran (PTMHQ), Tanjung Karang, Selangor.

“Jika sebelum ini ada sesetengah masyarakat menganggap muzik Islam terlalu perlahan, kami pula bawa muzik rock yang lebih bertenaga sesuai dengan semangat jihad berkobar-kobar yang perlu ada dalam diri setiap umat Islam.
“Dalam Islam sendiri tidak pernah mengehadkan penganutnya untuk menikmati muzik selagi berada dalam landasan yang betul. Jadi kami mengambil inisiatif mengajar muzik di PTMHQ kerana muzik juga salah satu cara berdakwah yang berkesan.
“Semoga amalan ini menjadi saham kami di akhirat nanti. Melalui lagu-lagu kami yang sarat dengan motivasi dan hal-hal yang mengajak ke arah kebaikan, saya kira pengajaran ini sesuai untuk para pelajar di sini.
“Saya percaya mereka sukakan muzik dan menerima segala hal positif untuk maju dalam kehidupan melalui cara yang berkesan ini,” luah ketua kumpulan selaku gitaris Alfarabi, Nazri Alias, 47, yang mengenali Pengetua PTMHQ iaitu Dr. Mohd. Ashraf Suarin, 37, sejak 2012.
Kata Nazri, mereka bersetuju menerima tawaran Mohd. Ashraf kerana mengagumi peribadi dan cara pemikirannya walaupun usianya lebih muda berbandingnya.
“Ustaz mendekati Alfarabi kerana tertarik dengan penampilan kami memakai serban dan pakaian bercirikan Islamik dan dalam masa sama menyampaikan muzik rock yang penuh dengan mesej keagamaan.
“Baginya Alfarabi sesuatu yang unik dan mempunyai peranan besar dalam menyampaikan dakwah dan mengembangkan Islam.
“Ini kerana, persembahan kami bukan sahaja diminati oleh peminat beragama Islam, malah penganut agama lain juga meminatinya.
“Iyalah, jarang kita lihat para peminat berlainan agama berkumpul dalam satu tempat untuk menikmati muzik yang membawa mesej kerohanian.
“Secara tidak langsung kami boleh menerapkan nilai-nilai Islam dalam diri mereka. Kami tahu hidayah itu milik Allah, tetapi kita juga harus berusaha memperlihatkan keindahan Islam,” katanya.
Selain Nazri, anggota-anggota lain Alfarabi ialah Fazrina Ghazali, 46, (pemain bes), Kamarul Borhan, 37, (gitaris), Nasaie Nawawi, 33, (vokalis) dan Adie Wadi Ahmad, 41 (pemain dram).
Mereka sebelum ini popular dengan lagu Drums Of Dawn, World New Ethnic, Akta 3 Kurungan 13 dan Amanat Perwira.
Nazri dan anggota lain juga turut berbangga mengenali Mohd. Ashraf yang gigih mahu melihat generasi muda yang menghafaz al-Quran terus berkembang seiring dengan dunia moden.
“Kami betul- betul menghormati beliau sebagai pengetua di PTMHQ yang mengusahakan pusat ini dari tiada apa-apa sehingga para pelajar boleh belajar dalam serba kemudahan seperti asrama, surau, dewan, tempat latihan dan banyak lagi.
“Kami tahu bukan mudah untuk membangunkan sesuatu tempat kerana banyak cabarannya. Namun, sikap positif dan tidak mudah putus asa beliau menjadi kenyataan. Kami gelarkan beliau sebagai ‘penyelamat’ kerana memberi peluang kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik untuk menimba ilmu di sini.
“Saya harap orang di luar sana mencontohi usaha beliau. Hanya Allah yang mampu membalasnya,” ujarnya lagi.











