IPOH 20 Julai – Peminat The Bos Gaurus berpeluang untuk mendapatkan tiket percuma bagi menyaksikan final Piala FA 2019 dengan pembelian jersi kombo edisi khas skuad Perak mulai hari ini.
Setiap pembelian pek kombo iaitu jersi rasmi pasukan bersama baju-T edisi khas perlawanan jenama UMBRO pada harga RM179 ini akan menerima sekeping tiket perlawanan berkenaan.
Perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak menentang Kedah bakal berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Pengurus Jenama Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. (Al-Ikhsan), Ahmad Firdaus Nurullah Rasedee berkata, jualan istimewa ini bagaimana pun hanya terdapat di cawangan premis itu di Ipoh Parade di sini.
Menurut beliau, tawaran istimewa itu hanya kepada 150 pembeli terawal sahaja manakala tiket berkenaan pula boleh dituntut di premis sama pada atau selepas Selasa ini.
“Al-Ikhsan selaku penaja rasmi skuad The Bos Gaurus amat teruja apabila dapat bersama-sama meraikan kejayaan untuk beraksi pada pentas akhir edisi Piala FA kali ini.
“Bagi menyemarakkan lagi sokongan kita mengeluarkan t-shirt edisi khas perlawanan berwarna hitam pada harga istimewa iaitu RM39 untuk dimiliki oleh para penyokong skuad Kejor Yeop Kejor,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pada sesi bertemu peminat para pemain The Bos Gaurus di pekarangan premis Al-Ikhsan di Ipoh Parade hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.
Ahmad Firdaus memberitahu, t-shirt edisi khas perlawanan itu juga boleh diperolehi di kesemua cawangan rangkaian Al-Ikhsan bermula hari ini.
“Penyokong dan peminat The Bos Gaurus juga boleh mendapatkan jersi pasukan edisi lepas di rangkaian kedai kita yang kini hanya RM25 berbanding harga asal RM69,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











