ARAU 8 Julai – Penyatuan UMNO dan Pas diharap bukan sekadar dibentuk untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebaliknya perlu kekal selama-lamanya demi kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.
Harapan tersebut disuarakan oleh akar umbi UMNO yang merasakan penyatuan ummah ini adalah sesuatu yang memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya penyokong kedua-dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau, Mohd. Shukur Roshidi berkata, selepas sekian lama bertelagah, orang Melayu daripada kedua-dua parti itu sudah mula bersatu dan perkembangan ini boleh dilihat di semua peringkat termasuk di kampung-kampung.
Katanya, kekalahan Barisan Nasioanl (BN) dalam pilihan raya lalu telah ‘dibalas’ dengan hikmah besar iaitu penyatuan ummah dan semua pihak perlu menjaga hubungan tersebut.
“Saya rasa tenang apabila pergi ke kedai-kedai makan di kampung-kampung, kenduri semuanya (penyokong UMNO dan Pas) boleh duduk sekali. Perkara itu, jarang berlaku dahulu.
“Akar umbi sudah dapat menerima baik kerjasama ini dan kini terserah kepada pusat untuk menentukan hala tuju selepas ini. Apa yang penting penyatuan ummah ini perlu dikekalkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Mohd. Shukur, beliau yakin dan percaya, kerjasama tersebut juga akan memastikan Putrajaya kembali dirampas pada PRU-15.
“Kalau kita lihat sekarang, momentum perubahan itu jelas kelihatan dan rata-rata masyarakat juga menyambut baik usaha kerjasama UMNO dan Pas ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE











