KUALA LUMPUR 14 Julai –Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara untuk memilih Perdana Menteri kelapan, selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, isu pengganti Dr. Mahathir bukanlah besar dan sukar untuk diselesaikan tetapi sengaja ditimbulkan seolah-olah ia tidak boleh diselesaikan.
Beliau malah memberitahu, dengan menyerahkan kuasa melantik Perdana Menteri itu kepada Yang di-Pertuan Agong, pentadbiran negara dapat memberi fokus kepada penyelesaian janji kepada rakyat.
“Apabila Perdana Menteri meletakkan jawatan, dia boleh cadang penggantinya tetapi Agong boleh menggunakan budi bicaranya untuk melantik sesiapa dalam kalangan Ahli Parlimen yang difikirkan mempunyai sokongan majoriti dalam Parlimen.
“Apabila selesai masalah ini, rakyat boleh diberikan tumpuan oleh kerajaan bagi menyelesaikan pelbagai masalah,”katanya seperti dipetik laporan portal Sinar Harian ketika menyampaikan syarahan dalam program Bicara Bersama Tokoh bertajuk Masa Depan Politik Melayu anjuran Gagasan Melayu Perak di Dewan Safari Resort Sungai Perak, Kuala Kangsar dekat sini, malam tadi.
Sementara itu, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu merasakan Dr. Mahathir perlu diberikan peluang untuk mentadbir negara dalam tempoh yang telah dipersetujui.
Katanya, desakan pihak tertentu agar mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya tindakan sia-sia kerana kuasa melantik Perdana Menteri ditentukan oleh Agong.
“Nampaknya orang dah jolok Anwar nak ganti (Dr Mahathir) tapi soalnya bukan orang yang jolok menentukannya, itu terpulang kepada Agong apabila Dr. Mahathir berhenti (melepaskan jawatan perdana menteri). Proses ini mudah sebenarnya.
“Mahathir nampaknya tak suka dipaksa-paksa begitu dia kata ada perjanjian (serah jawatan perdana menteri) tapi dia nak masa,” katanya dalam sidang media selepas program tersebut. – UTUSAN ONLINE











