PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof menyifatkan terdapat pihak yang melakukan agenda terancam untuk membangkitkan kemarahan dalam kalangan umat Islam terhadap dirinya.
Beliau berkata, kenyataan dikeluarkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak melalui akaun Facebook itu tidak mempunyai standard ekoran ia merupakan satu pembohongan.
“Saya kira ini adalah agenda terancang oleh pihak-pihak tertentu. Apabila tiada orang mengutuk Islam, mereka sendiri yang kutuk Islam.
“Selepas itu, mereka sendiri yang buat perhimpunan. Dia sendiri yang marah kepada menteri, dia sendiri yang memaki hamun kerajaan lepas tu dapat tahu perkara itu tidak betul,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Halal Fiesta Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia 2019 (Halfest Jakim 2019) di sini hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Akhbar Mujahid, Siti Zulaikha Zulkifli telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada pukul 11 pagi tadi.
Laporan itu dibuat selepas satu hantaran di Facebook berkaitan kes menghina Nabi Muhammad oleh seorang pemegang akaun media sosial berkenaan dan menggunakan gambar dengan dakwaan kenyataan Mujahid.
Laman Facebook itu yang menggunakan nama MyNewsHub dengan memuatnaik sebuah poster berkaitan isu Wendy Loong.
Mengulas lanjut, menurut Mujahid, beliau tidak teragak-agak untuk ADUN di Perak kerana didakwa memuat naik poster fitnah yang mengaitkan dirinya.
Beliau berkata, setakat ini, beliau menunggu makluman daripada peguamnya sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap perkara itu.
“Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang dinyatakan dalam hantaran Facebook tersebut.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang itu dan meletakkan kenyataan di dalam poster telah meletakkan keresahan kepada umat Islam,” katanya.
Tambahnya, ada pihak yang mengecam dengan berkata dalam nada permusuhan namun, beliau mengambil itu sebagai tanggungjawab sepenuhnya terhadap mereka yang menaikkan poster itu. – K! ONLINE











