SUNGAI PETANI 15 Julai – Penantian seorang abang yang menunggu adiknya kira-kira sejam di sebuah pasar raya hampir berakhir dengan tragedi apabila dia diserang dengan mercun oleh adik lelakinya itu di Taman Patani Jaya, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.40 petang itu, mangsa yang berusia 60 tahun cedera pada lengan kiri, kepala dan telinga kirinya akibat terkena mercun yang diubah suai suspek berusia 36 tahun.
Malah, adiknya turut cedera pada tangan kanan apabila mercun yang dinyalakan meletup di tangan sendiri sebelum sempat membaling ke arah abang kandungnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa mahu memberikan komputer kepada adiknya itu.
“Mangsa menunggu di pasar raya tersebut, sebelum suspek yang tiba kira-kira sejam kemudian bertindak mengugut mahu membunuh abang kandungnya itu.
“Suspek seterusnya menyalakan mercun yang diubah suai dan cuba membaling ke arah abangnya, bagaimanapun bahan letupan itu meletup ketika masih berada di tangannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Adzli berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Tambah beliau, suspek dan mangsa kemudian memandu kenderaan masing-masing ke sebuah hospital swasta sebelum mereka dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk rawatan lanjut.
Ujarnya, suspek didapati mempunyai lapan rekod berkaitan kes dadah. -UTUSAN ONLINE











