KEMAMAN 21 Julai – Seorang pemuda berusia 35 tahun ditemukan mati tergantung di dalam sebuah rumah kosong di Felda Neram 2 dekat sini pukul 12.30 tengahari tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa dijumpai oleh adiknya dalam keadaan tergantung dengan wayar elektrik di sebuah bangsal di belakang rumahnya.
Menurutnya, adik mangsa bersama bapa mereka kemudian membantu memotong wayar elektrik sebelum menurunkan mangsa.
Beliau memberitahu, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu dibawa ke Klinik Kesihatan Cheneh dekat sini untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pukul 1.10 tengah hari tadi oleh pembantu perubatan di klinik berkenaan,” ujarnya di sini hari ini.
Mohd. Haki berkata, hasil pemeriksaan di sekitar tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah termasuk kesan pergelutan berlaku.
Tambahnya, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman pukul 4.30 petang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR). – UTUSAN ONLINE











