KUALA LUMPUR 8 Julai – Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) akan mengadakan satu siri ceramah yang dipanggil Steamulus pada 25 Julai ini.
4As dalam satu kenyataan hari ini berkata, inisiatif keterlibatan industri itu bertujuan untuk memperkenalkan anggotanya, peneraju dan tokoh dari pelbagai bidang termasuk menyediakan mereka sesi rangkaian yang lebih produktif.
Presiden Andrew Lee berkata, persatuan itu berhasrat untuk menghubungkan anggotanya dengan pakar-pakar dari pelbagai bidang kreatif bagi memberi pemahaman yang lebih baik mengenai keunikan senario dalam setiap industri berkenaan seperti muzik, permainan komputer, penerbitan, filem atau sukan .
“Pengetahuan dalaman seperti ini amat berguna kepada anggota persatuan khususnya jika wujud peluang untuk mereka bekerjasama dengan kumpulan pemasaran dalam industri tersebut,” katanya.
Ceramah sulung dalam siri ini, bertajuk “Membina dan Meraih Kesetiaan Jenama Melalui Muzik,” ia akan disampaikan oleh Pengarah Urusan Universal Music Group Malaysia, Singapura dan Indo-China, Kenny Ong.
Steamulus akan diadakan di Foremula, Dana 1 Commercial Centre di Petaling Jaya, Selangor. – BERNAMA











