42,909 kilogram ketum, dadah bernilai RM73,741 dirampas dalam tempoh enam bulan - Utusan Malaysia

42,909 kilogram ketum, dadah bernilai RM73,741 dirampas dalam tempoh enam bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR 15 Julai – Sebanyak 42,909 kilogram daum ketum dianggarkan bernilai RM429,095 berjaya dirampas dalam tempoh enam bulan bermula Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, rampasan dadah bagi tempoh sama iaitu Januari hingga bulan lalu melibatkan barangan terlarang jenis syabu, heroin, ganja dan pil erimin pula dianggarkan bernilai RM73,741 dengan membabitkan tangkapan seramai 223 orang.

Katanya, tangkapan dan rampasan itu dilakukan pihaknya bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sekitar di kawasan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cecair ketum yang dirampas pula sebanyak 2,689 bernilai RM26,896 dan 297.75 liter cecair ubat batuk bernilai RM29,775. Kita akan terus mempergiatkan usaha untuk mengekang sebarang kegiatan penyeludupan di sempadan termasuk meminta bantuan unit udara polis,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, tangkapan di bawah kesalahan ketum itu melibatkan seramai 155 orang.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengesan taktik baharu pengusaha ketum yang menjadikan kawasan hutan berhampiran kampung untuk menjalankan kegiatan membungkus dan memasak tumbuhan tersebut sebelum mengedarkannya kepada pelanggan termasuk menyeludup ke Thailand.

Katanya, pengusaha didapati tidak lagi beroperasi di rumah kerana bimbang diserbu oleh pihak berkuasa.

“Mereka akan masuk ke kawasan hutan menggunakan kenderaan masing-masing dengan membawa daun ketum serta peralatan memasak. Semua proses akan dilakukan di lokasi itu sebelum daun ketum yang siap dibungkus diseludup ke Thailand manakala cecair tumbuhan dijual di pasaran tempatan,” katanya.

Tambahnya, rata-rata pengusaha mengubah lokasi pemprosesan susulan serbuan yang kerap dilakukan pihak berkuasa di rumah mereka.

“Kita akan terus mengesan kegiatan itu di hutan-hutan berhampiran kawasan kampung seperti Felcra Lubuk Sireh, Kampung Melayu dan Kampung Baru yang mana mereka juga didapati sering berpindah kawasan operasi,” ujarnya.

Katanya lagi, daun ketum yang siap dibungkus itu kebiasaannya akan diseludup ke negara jiran oleh pihak lain melalui kawasan hutan di sempadan Malaysia-Thailand.

“Selain melalui hutan, kita turut mengesan modus operandi baharu penyeludupan daun ketum menggunakan treler yang berlaku pada bulan lalu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini