ALOR SETAR 9 Julai – Tindakan pantas Jabatan Perhutanan negeri menahan sebanyak 27 buah lori yang membawa kayu getah tanpa pas pemindah berjaya menyelamatkan kira-kira 115 tan hasil hutan itu.
Dalam Op Selatan yang dilakukan Jabatan Perhutanan negeri bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama dua hari lalu, kesemua 27 orang pemandu lori terbabit yang berusia 18 hingga 53 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Roslan Rani berkata, operasi itu dijalankan di beberapa lokasi panas termasuk di Sik, Kuala Muda, Kulim dan Padang Terap.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua kayu getah yang bernilai RM50,000 itu diangkut untuk dijual atau dibekalkan kepada sebuah kilang kayu di Pokok Sena.
“Permintaan yang tinggi terhadap industri perabot menggunakan kayu getah menyebabkan individu dan syarikat terbabit sanggup melanggar undang-undang mengangkut kayu ini tanpa permit yang sah.
“Mereka merupakan pemandu lori persendirian dan ada juga melibatkan pihak syarikat, kami memandang serius jenayah hutan ini yang boleh merosakkan ekosistem alam sekitar,” katanya hari ini.

Roslan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 68(1) dan Seksyen 68(2) Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985.
“Selain itu, PDRM dan JPJ turut mengeluarkan beberapa saman atas kesalahan membawa muatan melebihi had dan beberapa kesalahan trafik yang lain kerana tindakan mereka turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE











