BESUT – Sebanyak 170 pasukan dari sekolah menengah dan rendah di negeri ini akan mengambil bahagian dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) 2019 peringkat Terengganu yang akan diadakan pada 10 dan 11 Julai ini di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan di sini.
Penyelaras pertandingan, Dr. Hazlina Awang Lah berkata, pertandingan selama dua hari anjuran Sasbadi Holdings Berhad dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan LEGO Education itu bertujuan berkongsi idea-idea baharu dalam bidang robotik di samping mewujudkan jaringan kerjasama pendidikan antara pelbagai pihak.
Katanya, bagi sekolah rendah tema yang diketengahkan ialah ‘Smart Passenger Transport, Smart Cities & Driverless Bus’ manakala sekolah menengah pula ‘Pro & Rookies, Smart Cities & NRC Football’.
“Penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Pengarah IPG Kampus Sultan Mizan, Dr. Muhamad Sidek Said,” katanya. – UTUSAN ONLINE











