LIPIS 15 Julai – Hospital Lipis mengkuarantin 15 pesakit kes demam malaria Plasmodium Vivax melibatkan Orang Asli Pos Lenjang dekat sini yang sedang dirawat di hospital berkenaan sekurang-kurangnya dua minggu bagi menjamin mereka bebas daripada penyakit itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik berkata, pesakit daripada suku Semai itu disediakan kelambu berubat, diberi antibiotik dan dipantau oleh pakar perubatan.
Katanya, semua kes terbabit berlaku di Kampung Pagar dan Kampung Serdang dari Pos Lenjang membabitkan 12 kanak-kanak berusia satu hingga 12 tahun, seorang remaja berusia 17 tahun dan dua ibu daripada kanak-kanak tersebut.
“Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengambil tindakan proaktif mengkuarantin pesakit di wad Hospital Lipis bagi memudahkan tindakan pemulihan dan mengelakkan menjadi wabak.
“Kita memuji tindakan pantas pihak terbabit seperti Jabatan Kesihatan negeri yang mengaktifkan Bilik Gerakan Wabak pada 12 Julai 2019 bagi aktiviti kawalan dan pengesanan kes (ACD),” dalam sidang media selepas melawat pesakit terlibat di Hospital Lipis di sini petang ini.
Md. Farid berkata, Pejabat Kesihatan Daerah telah menjalankan aktiviti kawalan malaria dengan menjalankan aktiviti semburan racun serangga pada dinding dan edaran kelambu berubat di lokaliti yang membabitkan suku kaum Semai yang banyak berinteraksi dengan dunia luar.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jakoa turut menyediakan khidmat kaunseling dan pendidikan kesihatan berkaitan malaria sebagai nilai tambah pencegahan jangkitan.
“Laporan perubatan mengenal pasti semua 15 kes didiagnosa mengalami malaria jangkitan Plasmodium Vivax dan mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke hospital,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Lipis, Dr. Noor Hafizan Mat Sallleh berkata, punca jangkitan sedang disiasat dan kini aktiviti pengesanan dan kawalan vektor dilakukan kerana kawasan berkenaan tidak melaporkan kes malaria sejak 2006.
Menurutnya, kira-kira 400 orang daripada kedua-dua kampung telah menjalani ujian saringan darah bagi membolehkan ujian mikroskopi dilakukan bagi mengenal pasti simpton malaria.
Timbalan Pengarah Hospital Lipis Dr. Ahmad Zunawani Hashim pula memberitahu, semua 15 pesakit diberi rawatan kelas pertama dan dipantau kemajuan kesihatan sehingga bebas daripada simpton malaria.
Beliau berkata, bagi mengelak wabak mana- mana individu masuk ke kampung berkenaan perlu berdaftar dengan Jabatan Kesihatan Lipis dan Jako
“Mana- mana penduduk yang keluar pula perlu didiognisis bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan malaria,” katanya. -UTUSAN ONLINE











