SERDANG – Sebanyak 14 premis perniagaan diarahkan tutup selepas melanggar syarat undang-undang pelesenan dalam serbuan operasi bersepadu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Serdang Jaya, awal pagi ini.
Timbalan MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali, berkata, daripada 14 premis itu sebanyak enam premis perniagaan dijalankan warga asing terdiri daripada warga Bangladesh dan Indonesia.
“Kami mendapati kesemua premis tersebut melanggar syarat undang-undang pelesenan dengan membina dan mengambil sambungan elektrik secara haram yang didapati menyalahi undang-undang.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kami mendapati enam premis perniagaan yang dijalankan warga asing itu merupakan premis yang disewa daripada warga tempatan dan enam keadaan premis sangat kotor,” katanya ketika ditemui selepas serbuan operasi bersepadu MPSJ di Serdang Jaya.
Sementara itu, Zulkurnain berkata, tindakan penutupan dan roboh premis berkenaan dibuat mengikut Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan MPSJ 2007.
“Operasi bermula pada pukul 9.30 pagi sehingga 11 pagi tadi membongkarkan kegiatan sebahagian premis tersebut tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Pemilik premis tersebut diberikan notis tutup dan roboh dalam tempoh 30 hari selepas notis diberikan, sekiranya pemilik tersebut gagal mengikut arahan yang ditetapkan pihak kami tidak teragak-agak untuk merobohkan,” katanya. – K! ONLINE











