SEMENYIH 29 Julai- Polis menahan 13 individu dalam empat serbuan di sebuah makmal memproses dadah di sekitar ibu negara pada Jumaat lalu.
Kesemua suspek berusia 19 hingga 51 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (JSJN) dalam serbuan kira-kira pukul 6.10 petang hingga 9.50 malam.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Khader Mohd. berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas ketamin seberat 13.4 kilogram (kg); syabu (0.592 kg) syabu; 57 pil eskstaksi; tujuh biji pil eramin 5 serta bahan-bahan kimia.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati sembilan individu positif dadah serta tiga daripada 13 suspek ditahan mempunyai rekod jenayah.
“Nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM836,000,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Tambah Khalil, pihaknya turut menyita tujuh buah kenderaan, tiga utas jam tangan pelbagai jenama, barang kemas, wang tunai berjumlah RM3,200 dan keseluruhannya bernilai RM320,000. – UTUSAN ONLINE











