10 sebab mengapa peneroka marah PH - Utusan Malaysia

10 sebab mengapa peneroka marah PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak pernah berlaku dalam sejarah sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan, peneroka beramai-ramai meninggalkan majlis tatkala Perdana Menteri sedang berucap dan secara terbuka ‘boo’ Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika giliran beliau berucap di tanah rancangan Felda Selancar 3, Muazam Shah, Rompin Pahang.

‘10 sebab’ kenapa kemarahan peneroka dan pekebun kecil’ terhadap Kerajaan PH tampak tidak boleh dibendung lagi:

-Peneroka masih tidak nampak dasar produktif kerajaan untuk meningkatkan harga sawit di pasaran. Harga buah tandan segar (BTS) sawit per tan masih berada di bawah paras pra-PRU-14 iaitu ‘RM369 setakat 5 Julai 2019 berbanding RM510 pada 30 April 2018 (sebelum BN tumbang).’

Memuatkan artikel berkaitan…

-Harga minyak mentah sawit (CPO) juga masih rendah iaitu ‘RM1,872.00 setakat 5 Julai 2019 berbanding RM2,349.50 pada 30 April 2018 (sebelum BN tumbang).’

-Rata-rata kehidupan peneroka Felda skim sawit kini makin tertekan dengan ‘pendapatan bulanan bersih’ hanya sekitar ‘RM300-RM400 sebulan’ selepas ditolak kos operasi ladang dan pemotongan-pemotongan lain seperti hutang D’Mart, hutang sosio-ekonomi (pinjaman pembesaran rumah, komputer, usahawan), caruman keceriaan kampung, caruman tanam semula dan lain-lain. (Berbanding di zaman BN peneroka memperoleh ‘pendapatan bulanan bersih’ sekitar ‘RM2,500-RM4,000’ sebulan).

-Kegagalan Felda melaksanakan polisi ‘pendapatan peneroka minima’ sebanyak ‘RM1,000 sebulan’ melalui penangguhan pemotongan hutang-hutang sosio-ekonomi dan caruman-caruman yang bersesuaian kerana kedudukan kewangan Felda yang lemah serta kelembapan MEA meyakinkan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan untuk meluluskan bantuan kewangan kepada Felda.

-Ketiadaan ‘wakil Peneroka dan Penerokawati dalam Lembaga Felda’ untuk menjamin dan memperjuangkan nasib dan kepentingan peneroka di dalam sebarang keputusan penting di peringkat pengurusan tertinggi Felda tidak seperti di zaman BN memerintah.

-Cadangan Kertas Putih Felda untuk mengambil alih tanah-tanah milik mereka melalui pajakan jangka panjang oleh Felda dimana mereka ‘tidak lagi mempunyai suara dan kawalan ke atas aset tanah ladang 10 ekar’ yang telah sekian lama (puluhan tahun) mereka nantikan surat pemilikan dari Kerajaan Negeri masing-masing.

-Kerajaan PH cuba mengelirukan peneroka bahawa sekiranya tanah-tanah peneroka diuruskan seperti estet, pulangan hasil peneroka lebih tinggi, walhal selama ini ‘sebahagian ladang-ladang peneroka diuruskan secara berkelompok oleh Felda dan Felda Technoplan (FTP) tanpa kehilangan kawalan milikan tanah ladang mereka.’

‘Perlupusan Hutang Peneroka’ yang dicadangkan ‘tidak memberikan layanan yang adil’ kepada peneroka yang bertanggungjawab membayar hutang dan yang tidak berhutang atau Sifar Hutang. Tiada perbincangan dan perincian mengenai kaedah dan kadar perlupusan hutang peneroka setakat ini.

-Seramai 7,839 peneroka adalah sifar hutang dan mereka telah lebih awal berdikari dan mandiri. Felda seharusnya memberikan ‘bayaran tunai yang setimpal kerana mereka tidak akan menerima apa-apa manfaat dari perlupusan hutang peneroka yang dicadangkan oleh kerajaan.’

-Mohamed Azmin juga ternyata ‘gagal meyakinkan’ Perdana Menteri dan terutamanya rakan Kabinetnya dari Kementerian Industri Utama, Teresa Kok untuk ‘meningkatkan harga minyak sawit global’ melalui pelbagai usaha meluaskan eksport kelapa sawit negara ke pasaran baharu dan meningkatkan permintaan pasaran sedia ada seperti China, India, Pakistan serta Kesatuan Eropah (EU).

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ‘memandang serius dan turut merasai kekecewaan dan keperitan hidup selama 13 bulan warga peneroka’ selepas pemerintahan baharu Kerajaan PH. Justeru Pemuda UMNO ‘mendesak agar Kerajaan segera menghentikan sandiwara menyalah Kerajaan lama!’ Sebaliknya fokuslah kepada usaha menangani isu peneroka secara tuntas dan komprehensif sebagaimana yang dimanifestasi mereka dalam Hari Peneroka Kebangsaan kelmarin.

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini