KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menimbangkan semula cadangan supaya diwujudkan unit khas kaunseling di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan melatih lebih ramai anggota dalam bidang kaunseling.
Langkah itu jelas Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye agar anggota yang menghadapi masalah berkaitan kesihatan mental dapat dikenalpasti dan dibantu di peringkat awal.
Kata beliau, walaupun PDRM mempunyai Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) di setiap kontinjen, namun peranannya terlalu umum dan tidak mempunyai kepakaran dan pengkhususan terhadap masalah mental.
Beliau malah menjelaskan, unit tersebut boleh dikembangkan manakala kemahiran ahlinya perlu ditingkatkan dengan bantuan pakar psikiatri dan kaunseling dari kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
“PDRM juga perlu melaksanakan penilaian kesihatan mental untuk semua calon yang ingin menyertai pasukan keselamatan itu serta anggota sedia ada bagi mengetahui tahap kesihatan mental mereka serta punca-punca yang menyebabkan mereka berhadapan dengan tekanan perasaan.
“Intervensi di peringkat awal amat penting bagi mengelakkan anggota PDRM yang berhadapan masalah mental seperti tekanan perasaan ini melakukan tindakan di luar batasan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut Lam Thye, kes melibatkan masalah kesihatan mental mungkin dapat dielak jika anggota terbabit dikenalpasti di peringkat awal dan diberikan bimbingan kaunseling yang sesuai tanpa perlu ke hospital atau berjumpa pakar luar untuk mendapatkan rawatan.
Walau bagaimanapun, kata beliau, kes-kes serius dan berpanjangan perlu dirujuk untuk rawatan psikiatrik di hospital.
“Saya juga berharap anggota PDRM yang mempunyai masalah supaya bersikap terbuka dan bersedia mendapatkan perkhidmatan kaunseling bagi mencegah perkara lebih serius.
“Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, sendiri telah memberi jaminan untuk menjaga kebajikan warga PDRM dengan memberikan suasana kerja dan tempat tinggal yang kondusif serta gaji yang setimpal dengan tugas yang digalas serta nyawa yang dipertaruhkan mereka tidak kira siang atau malam, ” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE











