OTTAWA 28 Jun – Kanada menyenaraikan fahaman atau kumpulan Neo-Nazi dan ‘cabang bersenjatanya’ dalam senarai pertubuhan pengganas.
Tindakan itu merupakan yang pertama kali dilakukan kerajaan dalam mengklasifikasikan White Supremacy atau ketuanan kulit putih sebagai pertubuhan berkenaan.
Blood & Honour dan Combat 18 dilabel sebagai entiti pengganas, bersama-sama dengan 60 kumpulan lain termasuk al-Qaeda, Boko Haram serta Daesh.
Mengikut perundangan, aset kumpulan tersebut boleh dirampas dan pertubuhan yang membantu dalam aktiviti pengganas tertakluk kepada hukuman jenayah.
Kerajaan menggambarkan Blood & Honour sebagai ‘rangkaian antarabangsa Neo-Nazi dengan ideologi datang daripada doktrin Nasional Sosialis Nazi Jerman’ dan merujuk Combat 18 sebagai cabang bersenjata Blood & Honour.
Blood & Honour diasaskan di England pada 1987 oleh Ian Stuart Donaldson, vokalis kumpulan muzik White Supremacy.
Langkah menyenaraikan kumpulan berkenaan sebagai pertubuhan pengganas dilakukan selepas Kanada meningkatkan usaha memerangi keganasan.
Perkhidmatan Perisikan Keselamatan Canada (CSIS) merujuk ‘keganasan sayap kanan’ sebagai ancaman kepada keselamatan kebangsaan.











