BESUT – Kerjasama antara UMNO dan Pas perlu dimantapkan lagi bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang tidak mustahil boleh berlaku pada masa terdekat.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang selama ini melaungkan konsep Malaysia Baharu didapati semakin hari semakin hilang kepercayaan daripada rakyat.
Tambah beliau, pada masa sama, kerajaan Persekutuan yang diterajui PH turut mengalami tekanan ekoran pelbagai isu dan masalah berbangkit sesama parti-parti komponen gabungan itu sendiri.
“Di sebelah kita pula, hubungan yang terjalin antara UMNO dan Pas atas kesedaran menjaga kepentingan agama, bangsa dan tanah ini telah berjaya menyatukan semula orang Melayu Islam di negara ini selepas PRU-14.
“Ia telah menggusarkan pihak di sebelah sana (PH). Sehubungan itu, semua pihak (UMNO dan Pas) mesti berwaspada dengan ‘tangan-tangan ghaib’ yang sentiasa mencemburui hubungan ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong di sini hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad, Ketua Wanita UMNO Bahagian Busut, Engku Naimah Engku Taib dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Besut, Wan Bainah Wan Nor. – K! ONLINE











