KUANTAN – Dewan Ulama Pas menyifatkan menjatuhkan kerajaan sedia ada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) adalah perkara wajib dilakukan.
Ketuanya, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, matlamat itu akan dicapai menerusi tahaluf siyasi (muafakat politik) dan ta’awun (kerjasama demi kepentingan Islam) yang diwujudkan parti itu dengan UMNO serta parti politik bukan Islam yang tidak ekstrem.
Katanya, hasrat tahaluf siyasi dan ta’awun adalah untuk kepentingan Islam dan semua kaum di negara ini.
Katanya, setiap ahli Pas jangan sesekali khilaf dalam perkara itu kerana adat berpolitik mendorong tindakan pantas, apabila lambat Pas akan ketinggalan dan kalau tidak cekap parti Melayu dan Islam tersebut akan terus dicabar.
“Alhamdulillah, usul tahaluf siyasi (muafakat politik) dan ta’awun yang dibawa Dewan Ulama Pas diterima sebulat suara. Perkara ini jangan khilaf. Kita bergerak ke hadapan jangan menoleh, Dewan Ulama mengharapkan doa dan restu perwakilan dan pemerhati agar Allah permudahkan usaha kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Muktamar Tahun Pas Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini hari ini.
Semalam, Muktamar Tahunan Pas Ke-65 meluluskan usul agar dimeterai ta’awun dan tahaluf siyasi antara parti itu dengan UMNO. – UTUSAN ONLINE











