VjQyZkBj
KUALA LUMPUR – Status Khairy Jamaluddin sama ada dibenarkan bertanding atau tidak sebagai Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) minggu depan masih menimbulkan tanda tanya selepas tiada sebarang keputusan dicapai badan itu hari ini.
Setiausaha Agung MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid mengesahkan Khairy akan mencabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) yang bakal diadakan pada 29 Jun ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas ketika ditanya apakah pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan itu diterima selepas beliau gagal menghantar borang mengikut tarikh akhir yang ditetapkan.
Khairy, 43, dikatakan menghantar borang tersebut pada pukul 11.30 malam pada 15 Jun, bersama Timbalan Presiden MPM, John Ng, sedangkan tarikh akhir pencalonan adalah pada pukul 11.59 malam, 14 Jun.
Menurut Siti Zaleha, sebaiknya pihak media menunggu kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan oleh Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin.
Sama ada Khairy mahu pun Megat D Shahriman masing-masing enggan mengulas mengenai perkara itu. – UTUSAN ONLINE











