UWC sasar kumpul RM57.4 juta daripada IPO - Utusan Malaysia

UWC sasar kumpul RM57.4 juta daripada IPO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan bersepadu, UWC Bhd. (UWC), menyasar mengumpul RM57.4 juta hasil daripada tawaran awam permulaannya (IPO) di Bursa Malaysia, yang dijadualkan pada 10 Julai depan.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ng Chai Eng berkata, sebanyak RM27.4 juta daripada hasil tu akan digunakan untuk membeli mesin kawalan berangka komputer (CNC) baharu bagi meningkatkan kapasiti dan kecekapan pengeluaran.

“Ketika ini kami mempunyai 166 mesin CNC dan merancang untuk membeli 29 lagi dalam tempoh tiga tahun daripada tarikh penyenaraian UWC,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran prospektus syarikat tersebut, di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

UWC terlibat terutamanya dalam menyediakan fabrikasi kepingan logam jituan, perkhidmatan pemasangan tokokan nilai serta fabrikasi komponen mesin jituan.

Ng berkata, mesin baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran maksimum UWC sebanyak 18.6 peratus, daripada 480,048 jam setahun kepada 569,100 jam setahun.

“Pada masa ini, anggaran kadar penggunaan mesin CNC sedia ada kami telahpun berada antara 85 peratus dan 95 peratus,” kata Ng.

Beliau berkata, baki daripada hasil itu akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank, modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

IPO UWC melibatkan terbitan awam sebanyak 70 juta saham baharu dan tawaran jualan 33.01 juta saham sedia ada dengan tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

Selepas penyenaraiannya, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM300.78 juta, berdasarkan harga terbitan/harga tawaran sebanyak 82 sen sesaham dan modal saham diperbesar sebanyak 366.8 juta saham.

Hong Leong Investment Bank akan bertindak sebagai penasihat prinsipal, penaja jamin dan ejen tawaran saham syarikat bagi IPO itu.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, UWC mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM31.22 juta – 110.08 peratus lebih tinggi berbanding RM14.86 juta pada tahun kewangan 2017.

Pendapatan meningkat 48.11 peratus kepada RM136.49 juta daripada RM92.16 juta sebelumnya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini