SEREMBAN – UMNO menyambut baik ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Pas 2019 bahawa penyatuan umat Islam dan Melayu mesti digembleng untuk menjadi satu lonjakan kebangkitan yang baik dan berfokus.
Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO dan beliau secara peribadi percaya adalah merugikan jika umat Islam negara ini dibiarkan terus berbalah dan berpecah.
“Secara khusus UMNO bersetuju perpaduan nasional dalam konteks Malaysia mesti dikukuhkan dengan lebih serius. Islam adalah agama yang meraikan kepelbagaian. Adalah penting untuk semua pihak termasuk ahli politik menterjemahkan ajaran Islam yang sebenar sekali gus berusaha mendekati dan merapatkan hubungan antara kaum dan agama.
“Jalan ke hadapan negara mesti dipimpin dengan menjadikan saranan serta aspirasi yang diajarkan Islam sebagai rujukan dan panduan. Ketelusan, dasar ekonomi yang baik serta pemeliharaan elemen asas kebangsaan seperti Bahasa Melayu mesti menjadi fokus yang tidak boleh dikompromikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, UMNO menyambut baik aspirasi muafakat dalam berpolitik yang dianjurkan oleh Pas tersebut.
Kata beliau, UMNO sentiasa memegang kepercayaan bahawa keterbukaan dan keanjalan dalam menggembleng perpaduan dan kekuatan politik adalah perkara yang sangat kritikal.
Katanya, UMNO akan memberi komitmen dan kerjasama untuk bersama Pas bagi menyusun ikhtiar dan mencari pendekatan terbaik dalam mengukuhkan Malaysia dan Islam.
“Selamat maju jaya diucapkan kepada seluruh pemimpin dan ahli Pas dan semoga Muktamar Pas pada tahun ini membuahkan kebaikan serta cetusan idea yang bernas demi kemaslahatan semua,” katanya. – K! ONLINE











