KUALA LUMPUR 18 Jun – Universiti UCSI sekali lagi diiktiraf sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia dalam penilaian QS World University Rankings 2020.
Pencapaian itu membolehkan UCSI melonjak sebanyak 39 tangga ke ranking 442 sekali gus kekal menempatkannya dalam kelompok dua peratus terbaik antara semua universiti di peringkat dunia.
Sambil mengalu-alukan pengiktirafan itu, Naib Canselor dan Presiden UCSI, Prof. Kanan Datuk Dr. Khalid Yusoff berkata, pencapaian terkini itu merupakan hasil daripada usaha menyeluruh untuk kecemerlangan dan prestasi universiti.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan dan pelajar atas kepercayaan mereka terhadap universiti dan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan bagi memastikan peningkatan dan kemajuan prestasi UCSI.
“Ini tidak berlaku melalui perkembangan yang semula jadi atau organik, sebaliknya ia adalah cerminan kepada strategi yang diguna pakai dan dedikasi serta komitmen semua terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Khalid, kejayaan itu juga meletakkan tanggungjawab besar kepada kakitangan serta pelajar untuk terus bersama berusaha dan maju ke arah kecemerlangan.
Katanya, pada awal tahun ini, Institut Muzik UCSI sekali lagi muncul buat kali kedua sebagai 100 teratas global dalam bidang seni persembahan di penilaian QS World University Ranking by Subject 2019.
Menurut beliau, UCSI juga diiktiraf oleh QS World University Rankings: Asia 2018 sebagai universiti yang semakin meningkat naik di Asia.
Tambahnya, dalam usaha menjuarai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UCSI juga diperakui sebagai Pusat Kepakaran Serantau oleh Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu sekali gus menjadikannya universiti swasta pertama di Malaysia diiktiraf sedemikian.
UCSI mempunyai hubungan utuh dengan universiti terulung di seluruh dunia yang memilih pelajar sarjana terbaik dari universiti tersebut untuk penempatan penyelidikan, antaranya Universiti Harvard, Kolej Imperial London, Universiti Tsinghua, Universiti Chicago dan Universiti Queensland.
Habis..///











