OSAKA, Jepun – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam membenarkan firma-firma AS menjual peralatan kepada gergasi telekomunikasi China, Huawei.
“Firma-firma AS boleh menjual peralatan kepada Huawei,” kata Trump kepada pemberita di Osaka (waktu tempatan) selepas mencapai satu pendamaian sementara tarif dengan Presiden China, Xi Jinping.
“Kami berbincang mengenai peralatan yang tidak menimbulkan masalah dan ancaman besar terhadap keselamatan negara.”
Bagaimanapun, tiada penjelasan lanjut sama ada kenyataan Trump itu menandakan satu perubahan material berhubung pendirian Washington ke atas Huawei.
Sebelum ini, Huawei dikenakan sekatan memperoleh akses teknologi-teknologi penting Amerika atau beroperasi dalam pasaran atas alasan faktor keselamatan negara AS.
AS bimbang sistem bahawa sistem yang dibangunkan Huawei boleh digunakan kerajaan Beijing untuk tujuan pengintipan menerusi sistem keselamatan pintu belakang yang dibangunkan secara rahsia dalam peranti tersebut.
Huawei adalah syarikat peneraju dunia dalam bidang peralatan rangkaian telekomunikasi dan merupakan pembekal telefon pintar kedua terbesar dunia.
Huawei sekeras-kerasnya menafikan tuduhan itu dan menyatakan AS tidak pernah mengemukakan bukti kukuh berhubung dakwaan tersebut.
Pada bulan lalu, kerajaan AS menambah Huawei ke dalam satu senarai entiti yang dilarang daripada menerima komponen-komponen buatan AS tanpa kebenaran daripada Washington.
Kenyataan Trump itu tidak menggambarkan perubahan daripada amalan-amalan semasa.
Bagaimanapun, langkah itu dapat dibaca oleh pasaran-pasaran kewangan sebagai satu isyarat positif bahawa pentadbiran Trump mungkin terbuka untuk rundingan mengenai Huawei apabila perbincangan dagangan dua hala bersambung semula.
Pada awal bulan ini, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Ren Zhengfei menyatakan jualan telefon pintar luar negara susut 40 peratus susulan larangan oleh AS. – AFP











