Tindakan serang, tekan, musnah UMNO - Utusan Malaysia

Tindakan serang, tekan, musnah UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat permohonan lucut hak bagi tujuan mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar daripada salah guna kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah dipercayai bagi menyerang, menekan dan memusnahkan UMNO.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, ia juga bertujuan untuk memburukkan nama dan legasi yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Malah kata beliau, langkah SPRM itu turut jelas menggambarkan tindakan terpilih kerajaan Pakatan Haraoan (PH) bagi memusnahkan pihak lawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Strategi ‘lumpuh dan musnahkan’ pihak lawan dengan menggunakan agensi kerajaan, tanpa mempunyai bukti yang kukuh, harus ditentang habis-habisan.

“Kerakusan kerajaan PH menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) tidak boleh dibiarkan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Syed Mohd. Johan Rizal, Pemuda UMNO Kedah turut menarik perhatian sama ada peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum ini iaitu Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull ada kaitan dengan kes lucut hak tersebut.

Pada masa sama, beliau secara sinis juga mempersoalkan keadilan dan ketelusan SPRM apabila beberapa kes yang melibatkan PH dibiarkan sahaja tanpa sebarang tindakan.

“Kami ingin bertanya apakah SPRM tidak mahu membuka semula kes pembelian banglo oleh Lim Guan Eng serta kes rasuah melibatkan projek pembinaan terowong di Pulau Pinang yang juga membabitkan Menteri Kewangan itu?

“Begitu juga kes habuan RM800,000 yang diperolehi seorang setiausaha politik menteri yang sepi tanpa berita sehingga kini dan kes monopoli kontrak di Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan

“Selain itu, bagaimana pula kes melibatkan pembelian Merdeka Palace Kuching, Sarawak serta beberapa kes lain seperti yang pernah dinyatakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya SPRM benar-benar berani dan telus, pihaknya mendesak agar suruhanjaya itu mengambil tindakan yang serupa terhadap kes-kes yang disebutkan itu.

“Janganlah SPRM hanya menjadi badan siasatan yang bertindak atas ‘wahyu’ pihak atasan mahupun menjadi pelaksana agenda dendam oleh pihak tertentu.

“Jika ya, jelaslah SPRM bersikap dwistandard dan menjadi alat politik kerajaan PH,” katanya sambil memberitahu, Pemuda UMNO Kedah akan UMNO negeri ini dalam menentang tindakan tersebut menerusi saluran undang-undang.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengumumkan bahawa SPRM akan memfailkan permohonan pelucuthakan sivil terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan kembali lebih RM265 juta wang yang dikatakan milik 1MDB, yang dipindahkan ke akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan selepas itu diberikan pula kepada penerima terbabit.

Latheefa berkata, daripada nilai berkenaan, sejumlah RM212 juta diberikan kepada beberapa bahagian dan cawangan UMNO. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini