PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan memaklumkan, tiga kes baharu dengan gejala saluran pernafasan dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang telah dikesan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dalam tempoh 48 jam lalu.
Dua kes dikesan kelmarin dan satu kes dikesan semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dua daripada mereka iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita dewasa berusia 24 tahun, kini dirawat di Wad Isolasi Hospital Kuala Krai.
“Manakala seorang lagi pesakit, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, dirawat di Wad Isolasi Hospital Gua Musang.
” Ketiga-tiga pesakit berada dalam keadaan stabil. Ini menjadikan kumulatif kes sejak 3 hingga 21 Jun 2019 sebanyak 116 kes dengan gejala saluran pernafasan.
” Daripada jumlah tersebut, 47 kes telah disahkan measles (demam campak) melalui ujian makmal, ” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Dr. Dzulkefly, setakat semalam sebanyak 48 kes masih dirawat di hospital iaitu 46 kes di wad biasa dan dua kes di Unit Rawatan Rapi di Hospital Kuala Krai.
Beliau berkata, sejumlah 12 kes dengan gejala ringan ditempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) di Gua Musang, manakala 14 kes lagi ditempatkan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Gua Musang.
“Sehingga 21 Jun 2019 (semalam), tiada kes kematian baharu dan kes kematian yang dilaporkan kepada KKM kekal tiga.
” Ketiga-tiga kes kematian ini telah disahkan measles melalui ujian makmal. Manakala bedah siasat ke atas 12 mayat yang ditemui telah dijalankan serta sampel dihantar ke makmal dan sedang dijalankan ujian bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.
Beliau memberitahu, pemeriksaan antropologi juga sedang dijalankan ke atas 12 mayat ini untuk menentukan jantina, umur, bangsa, ketinggian dan jangkamasa kematian.
Sementara itu, jelasnya, satu kes baharu disyaki measles dilaporkan dari komuniti Orang Asli di Kg. Gerdong, Hulu Terengganu, Terengganu, kelmarin, menjadikan jumlah kes sebanyak 13 kes, dengan lapan kes disahkan measles melalui ujian makmal.
“Tiada kes baharu dikesan dari Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang menjadikan bilangan kes sehingga 20 Jun 2019 (kelmarin) sebanyak lapan kes, dengan empat kes disahkan measles melalui ujian makmal.
” Kesemua kes dari dua buah kampung ini mempunyai sejarah pergerakan / kontak dengan komuniti dari Kuala Koh, Gua Musang. Tiada penularan jangkitan measles melibatkan perkampungan lain dilaporkan. Pemantauan diteruskan oleh semua Jabatan Kesihatan Negeri,” jelasnya.
Tambah beliau, sebagai respons kepada wabak measles ini, Pejabat Kesihatan Daerah sedang menjalankan aktiviti imunisasi measles kepada komuniti di kawasan-kawasan yang terlibat dan lokaliti berhampiran dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) dan Tok Batin komuniti berkaitan. – UTUSAN ONLINE











