IPOH – Kerajaan negeri tidak pernah memberi kelulusan tanah Lapangan Terbang Tekah di Taiping kepada mana-mana pihak apatah lagi kepada syarikat swasta untuk dimajukan dengan projek komersial.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan malah ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memindahkan hak milik tanah itu seperti yang didakwa.
Menurutnya, sebahagian kawasan yang bukan berada di landasan lapangan itu yang pernah diluluskan kepada anak syarikat kerajaan negeri iaitu MB Inc. telah diserah balik kepada kerajaan negeri.
Berita berkaitan:
“Jadi saya harap janganlah kita mengadakan demonstrasi atas satu perkara yang tidak betul,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Peruntukan Kepada Sekolah-Sekolah Separuh Bantuan Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan hampir 200 ahli Gabungan Persatuan Pelindung Warisan Taiping berhimpun bagi membantah kemungkinan transaksi penjualan tanah berkenaan kepada sebuah syarikat pemaju baru-baru ini.
Mereka menuntut penjelasan Ahmad Faizal mengenai status sebenar tanah tapak warisan itu ekoran dakwaan tanah itu sudah dipindahkan hak milik kepada sebuah syarikat pemaju swasta bulan lalu. – UTUSAN ONLINE











