KANGAR – Pengakuan Haziq Abdullah Abdul Aziz bahawa dia terlibat dalam video seks songsang dengan seorang individu mirip menteri menjadi bukti paling kuat untuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu dikenakan tindakan oleh PKR.
Bagaimanapun langkah PKR memberi ruang kepada Haziq Abdullah dengan memberi alasan membiarkan polis selesai menjalankan siasatan dalam isu berkenaan menimbulkan persoalan.
Bekas Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman menegaskan, PKR perlu segera mengambil tindakan memecat atau menggantung keahlian Haziq Abdullah kerana individu berkenaan telah menyebabkan keadaan huru-hara di dalam parti serta negara.
Dalam masa sama, Timbalan Ketua PKR Cabang Arau itu turut mempersoal Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang terus berdalih enggan menerima hakikat bahawa individu di dalam parti sendiri yang menjadi dalang dalam isu tersebut.
“PKR sendiri harus membuat siasatan mengambil tindakan segera kerana Haziq Abdullah sendiri telah mengaku. Tidak kena dekat batang hidung sendiri (Saifuddin) bolehlah, kalau kena baharu dia tahu bagaimana.
“Saya harap siasatan itu tidak berat sebelah, biarlah lah berlaku dengan adil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini,
Semalam media melaporkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks dikaitkan dengannya, dilakukan orang dalam parti sendiri.
Bagaimanapun dakwaan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu diselar oleh Saifuddin Nasution yang mengingatkan Mohamed Azmin supaya tidak menambah satu lagi tuduhan ke atas tuduhan.
Hari ini, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin pula menyifatkan kepemimpinan parti sebagai kurang bijak apabila tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Haziq Abdullah susulan pengakuannnya terlibat dalam video seks.
Zuraida dilaporkan berkata, lelaki itu perlu dipecat kerana memalukan serta mencemar nama baik parti berikutan membuat pengakuan secara terbuka.
Sementara itu, Mohammad Faisol menegaskan, selain Haziq Abdullah, perancang atau dalang video berkenaan perlu segera dihukum.- UTUSAN ONLINE











