GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak ada sebarang perancangan untuk memindahkan penduduk Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, di sini ke mana-mana lokasi baharu.
Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, pihaknya sebaliknya telah berjaya memujuk 43 keluarga masuarakat itu yang sebelum ini tinggal di dalam khemah untuk berpindah semula ke rumah masing-masing.
Katanya, Jakoa kini memfokuskan menjaga kebajikan dan meningkatkan kemudahan asas serta mempelbagaikan sumber ekonomi kaum terbabit.
“Jakoa tidak pernah berbincang dan mengadakan mesyuarat peringkat dalaman jabatan bagi merancang perpindahan suku Bateq.
“Kita melihat mereka lebih suka menjalani aktiviti dan tinggal di kampung ini yang sudah dihuni berpuluh tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini portal berita melaporkan kerajaan Kelantan bersama Jakoa sedang merancang memindahkan masyarakat Orang Asli suku Bateq keluar dari Kampung Kuala Koh, selepas 112 Orang Asli suku berkenaan dilaporkan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan wabak demam campak di kawasan itu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, difahamkan masyarakat suku berkenaan akan dipindahkan ke satu penempatan yang lebih baik agar kesihatan dan kehidupan mereka dapat dipantau dengan lebih baik selepas ini.
Turut mengulas isu sama ialah Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia Cawangan Gua Musang yang tidak bersetuju masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh dipindahkan ke penempatan baharu.
Pengerusinya, Nasir Dollah berkata perpindahan itu bukan perkara mudah dilakukan dan cadangan itu tidak bersifat realistik.
Katanya, kerajaan Pusat sebaliknya perlu menaik taraf kemudahan asas seperti elektrik, sumber air bersih dan ekonomi kaum itu.
“Kita sepatutnya berbincang dengan penduduk Orang Asli di kampung itu terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan.
“Ini untuk memastikan setiap program pembangunan dan kebajikan yang dirancang memberi faedah kepada masyarakat Orang Asli tanpa mengenepikan kepentingan dan memelihara perkara asas berkaitan mereka melalui prinsip berasaskan maklumat awal, bebas dan Telus (IMABT),” katanya. – UTUSAN ONLINE











