Tiada ‘DNA’ badminton bukan penghalang Ziyad - Utusan Malaysia

Tiada ‘DNA’ badminton bukan penghalang Ziyad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Bukan dibesarkan dalam kalangan keluarga ‘kaki raket’ tetapi disebabkan minat dan keyakinan mendorong Muhammad Ziyad Md Tah menanam tekad untuk menceburi badminton secara profesional.

Anak muda berumur 24 tahun dari Skudai, Johor itu mengakui ketiadaan ‘DNA’ sukan dalam dirinya sebagai antara faktor peningkatan prestasinya agak perlahan.

“Dalam anggota keluarga hanya saya seorang yang menceburi bidang sukan dan badminton ini pun saya ceburi kerana minat sendiri, sebab itu peningkatan agak perlahan berbanding atlet lain,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, menurut Muhammad Ziyad yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik, semua itu bukan penghalang buatnya untuk tidak memperbaiki prestasi.

“Dan buat masa ini sasaran saya untuk perbaiki kedudukan ranking dunia memandangkan sekarang saya di tangga 342 dunia dan sebolehnya sebelum karier saya berakhir saya mahu di tangga 100 terbaik,” katanya.

Muhammad Ziyad yang diserap ke skuad senior negara pada Disember tahun lepas berkata untuk kekal bukan sesuatu yang mudah sehingga menuntutnya sentiasa melakukan yang terbaik bagi membuktikan dia layak sebaris dengan pemain lain.

“Sejak diserap saya baharu menyertai dua kejohanan iaitu Kejohanan Badminton Kebangsaan pada Februari dan Kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia 2019 (di Ipoh) ketika ini .

“Pada Kejohanan Badminton Kebangsaan saya kandas di pusingan kedua, manakala Kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia 2019 saya gagal layak ke peringkat suku akhir,” katanya.

Mengamalkan sikap sentiasa positif, Muhammad Ziyad berkata walaupun gagal merangkul sebarang kejuaraan setakat ini, namun pengalaman yang diperoleh dengan menyertai dua kejohanan itu banyak memberi pendedahan berguna kepadanya.

“Bila dapat masuk kejohanan-kejohanan ini saya rasa bersyukur sebab dapat belajar bagaimana hendak tangani lawan sebab kalau berlatih sahaja tidak mencukupi,” katanya yang menanam impian untuk mewakili negara ke Sukan olimpik satu hari kelak.

“Dengan usia dan pencapaian saya ketika ini untuk layak ke Olimpik terlalu jauh. Sekarang ini fokus saya adalah lakukan yang terbaik untuk saya dan negara,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini