BERBEZA dengan tahun-tahun sebelumnya, Aidilfitri kali ini disambut berbeza oleh penyanyi Siti Nordiana apabila terpaksa beraya bersendirian tanpa kehadiran anak kesayangan, Muhammad Rayyan Nakhie.
Perasaan sedih terpaksa dibuang jauh memandangkan anak tunggalnya itu bukan ke mana-mana, tetapi hanya memanfaatkan Syawal tahun ini bersama datuk dan nenek di sebelah arwah bapanya, Mohd. Faizal Yusof.

Menurut Nana, ini adalah permintaan mentuanya berikutan tahun ini isteri dan anak-anak arwah Faizal turut beraya bersama keluarga mentuanya itu.
“Ini kali pertama Rayyan beraya di sana dan tanpa saya. Memang sedih sebab Rayyan tidak ada dengan saya pada pagi raya, namun itu permintaan datuk dan neneknya, jadi saya tunaikan juga.
“Keluarga sebelah bekas suami berkumpul tahun ini, jadi saya izinkan Rayyan beraya bersama adik beradik kandungnya,” luah Nana.
Selalu berhasrat mahu menyambut hari raya di perantauan, Nana bagaimanapun akur apabila rancangan itu tidak dapat dilaksanakan.
“Kalau ikut rancangan saya, memang teringin sekali-sekala menyambut hari raya di luar negara. Sebabnya saya teringin nak lihat sambutan raya di tempat orang pula.
“Saya ada beritahu keluarga, mereka benarkan cuma yang jadi masalah adalah tiada rakan yang bersetuju dengan hasrat saya ini. Semua nak beraya dengan keluarga masing-masing, jadi terpaksalah saya akur,” jelas Nana.
Bukan tidak rindu untuk berumah tangga kembali, namun Nana tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan atau mementingkan diri sendiri.
“Hidup saya bukan sendirian, saya ada Rayyan. Apa pun keputusan yang saya buat perlulah atas persetujuan Rayyan bersama.
“Tentang jodoh saya tidaklah terlalu ambil serius, saya serahkan pada takdir yang ditetapkan oleh-Nya,”ucap Nana mengakhiri perbualan.











