Taman Inovatif Wakaf Tapai dibangunkan awal tahun depan - Utusan Malaysia

Taman Inovatif Wakaf Tapai dibangunkan awal tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan seluas 40.4 hektar bagi mendirikan 10 kilang pengeluaran pelbagai produk berasaskan kayu di Wakaf Tapai, Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kilang yang dibangunkan di Taman Inovatif Wakaf Tapai itu dijangka bakal menarik 10 pelabur asing yang ketika ini telah menyatakan komitmen untuk melabur di kawasan itu.

Katanya, ketika ini kerajaan negeri sedang berunding dengan gabungan dewan perniagaan masing-masing Melayu, Cina dan India bagi mewujudkan 10 lot kilang untuk industri tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita jangka paling lewat awal tahun depan kesemua 10 buah kilang akan didirikan di situ. Gabungan dewan akan menyiapkan kawasan dengan kos ditanggung oleh mereka manakala pelabur hanya datang untuk melabur dan secara tidak langsung kerajaan negeri akan turut mendapat manfaat bersama.

“Pelbagai produk daripada kayu akan dihasilkan di situ dan rata-rata pelabur sudah menyatakan kesediaan untuk datang cuma tempat (kilang) belum disiapkan lagi,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di Stadium Negeri di sini hari ini.

Tengku Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata, pelaburan baharu itu dijangka dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan buat anak negeri dan butiran mengenainya akan diperincikan tidak lama lagi.

Katanya, kerajaan negeri turut menerima banyak pertanyaan dan cadangan daripada pelabur asing mengenai industri bioteknologi di Taman Biopolymer di Kertih, Kemaman termasuk hasrat mewujudkan kilang pengeluaran gula daripada kayu bagi kegunaan perubatan.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, setakat ini sebanyak 7,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor sudah disediakan buat rakyat sekali gus menyifatkan Pas dalam landasan tepat untuk merealisasikan janji manifesto dalam menyediakan kira-kira 20,000 peluang pekerjaan sepanjang pemerintahan di Terengganu pada penggal ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini