KUALA LUMPUR – Polis menafikan hantaran tular mengatakan sebuah kapal terbang yang sedang dipindahkan menggunakan treler telah tersangkut hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya SILK, dekat Kajang, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.
“Bagaimanapun, selepas kita membuat semakan dengan syarikat konsesi lebuh raya terbabit, mereka mengatakan memang berlaku pemindahan pesawat tersebut awal pagi tadi, namun kejadian tersangkut itu tidak berlaku.
“Sebaliknya treler berkenaan hanya memperlahankan perjalanannya ketika melepasi jejantas tersebut untuk tujuan keselamatan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambahnya, pesawat tersebut telah tiba di Senai, Johor Bahru dengan selamat hampir sejam yang lalu. – UTUSAN ONLINE











