KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya mengutip lebih RM25,000 dan tajaan empat unit komputer riba pada hari pertama pelancaran Tabung Amal di sini hari ini.
Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, tabung tersebut ditubuhkan bagi membantu komuniti terutamanya kumpulan B40 di seluruh kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
“Antara bantuan yang sedang dirancang pada tahun ini adalah untuk memberi 10 unit komputer kepada pelajar cemerlang dan pembaikan infrastruktur di kawasan perumahan kos rendah.
“Kami telah menyediakan pelbagai saluran buat penderma yang ingin menyumbang antaranya menderma secara tunai di kaunter perkhidmatan MPSJ, menggunakan aplikasi QR Pay Maybank serta pindahan wang secara dalam talian ke nombor akaun Maybank 562366652566,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya di Laman Kenangan Ibu Pejabat MPSJ.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung yang terdiri daripada kakitangan MPSJ dan tetamu jemputan. – UTUSAN ONLINE.











