Serangan berdarah di Virginia Beach - Utusan Malaysia

Serangan berdarah di Virginia Beach

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Seramai 12 orang terbunuh manakala empat lagi cedera selepas seorang kakitangan majlis perbandaran melepaskan tembakan rambang di dalam sebuah kompleks kerajaan di negeri Virginia kelmarin, menurut polis.

Penembak itu dilaporkan terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan anggota polis. Lokasi sera­ngan itu disifatkan ‘seperti zon perang’, menurut Ketua Polis Virginia Beach, James Cervera pada satu sidang akhbar.

Kejadian tembakan rambang berlaku sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan) apabila penyerang memasuki salah sebuah blok bangunan kompleks perbandaran Virginia Beach dan terus menembak, kata Cervera.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang mangsa terbunuh di luar kenderaannya manakala baki individu terkorban dalam serangan itu ditemui pada ketiga-tiga tingkat dalam ­bangunan berkenaan.

Penembak bersenjatakan sepucuk pistol .45-caliber dengan penindas bunyi dan membuat pengisian semula peluru beberapa kali menggunakan magazin tambahan, jelas Cervera.

“Disebabkan bunyi tembakan pistol, (empat pegawai) berjaya menjejak tingkat di mana suspek berada dan melakukan jenayahnya. Mereka segera berbalas tembakan dengan suspek dan apa yang saya boleh beritahu anda adalah ia satu pertempuran panjang,” kata Cervera.

Pihak berkuasa belum mendedahkan nama penembak atau motif serangan tetapi memaklumkan bahawa penyerang itu seorang kakitangan lama jabatan kemudahan awam.

Mangsa yang cedera terma­suk seorang anggota polis dan semua mereka menjalani pembedahan malam kelmarin.

Bangunan yang menjadi lokasi serangan di Virginia Beach menempatkan pejabat kerja raya perbandaran dan pejabat kemudahan awam serta boleh menempatkan hingga 400 individu pada satu-satu masa.

Virginia Beach mempunyai seramai 450,000 penduduk dan terletak kira-kira 320 kilometer barat daya Washington.

“Ini adalah hari paling menyedihkan dalam sejarah Virginia Beach,” kata Datuk Bandar Bobby Dyer.

Megan Banton, seorang kakitangan kemudahan awam, memberitahu stesen televisyen WVEC bahawa sewaktu kekecohan, dia bersama hampir 20 rakan setugas lain menyorok dalam sebuah pejabat dan menggunakan meja sebagai penghadang pintu.

Kumpulan pemerhati Gun Violence Archive yang berpangkalan di Washington menyatakan serangan pada Jumaat lalu adalah serangan tembakan beramai-ramai ke-105 di Amerika Syarikat tahun ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini