KOTA BHARU – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Kerian hari ini sebulat suara meluluskan menyokong agenda perpaduan ummah dan meletakkan 100 peratus kepercayaan atas kebijaksanaan pemimpin di peringkat Pusat untuk meneruskan rundingan dengan pihak Pas.
Ketuanya, Shahrul Fadhel Mohd. Aziz berkata, agenda itu amat penting bagi menghasilkan satu aspirasi politik baharu yang boleh menumbangkan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).
“Keadaan hari ini jelas menggambarkan ketidaktentuan dari segi politik mahu pun ekonomi yang semestinya amat merugikan rakyat dan negara apa lagi orang Melayu serta umat Islam yang menunjangi negara majmuk ini. Mesyuarat hari ini menyokong agenda perpaduan ummah yang sedang digerakkan oleh pucuk pimpinan parti pada ketika ini.
“Kerjasama atau tahaluf siyasi antara UMNO dan Pas sanfat dinanti-nantikan oleh golongan rakyat terbanyak yang mahu melihat perpaduan terutama dalam kalangan sesama umat Islam,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Kerian di Dewan Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim merasmikan persidangan tersebut serentak dengan Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO bahagian itu.
Yang turut hadir, Setiuasaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mohamad Noordin Awang yang juga Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor.
Shahrul Fadhel berkata, politik pecah dan perintah yang diamalkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan DAP menyebabkan perpaduan umat Islam goyah.
“Mahu atau tidak, kerjasama atas nama perpaduan ummah ini hendaklah kita dokong dari bawah tanpa ada rasa ragu dan berbelah bahagi,” Katanya. – UTUSAN ONLINE











