LONDON – Separuh daripada wajah seorang lelaki berusia 58 tahun hancur ‘dimakan’ kanser hidung yang selama ini disangka cuma penyakit mata berair, lapor akhbar Daily Mirror.
Graeme Heward memberitahu doktor selama berbulan-bulan mengenai matanya yang berair dan masalah tekanan di bahagian sinus namun mereka berpendapat dia hanya berhadapan masalah mata dan saluran air mata tersumbat.
Bagaimanapun, dia kemudiannya didapati menghidap kanser hidung pada tahun 2010 selepas lapan bulan menunjukkan pelbagai gejala masalah sekitar mata dan hidungnya.
Heward menggelar ketumbuhan berkenaan sebagai The Alien kerana telah ‘menculik’ sebahagian besar wajahnya sehingga memerlukan rawatan berterusan untuk menyelamatkan baki mukanya yang masih elok.
“Saya mula berasa tidak sihat tetapi tidak mengalami penurunan berat badan. Semuanya bermula dengan masalah mata berair.
“Apabila tumor itu ditemui, doktor memberitahu ia tidak berbahaya. Apabila diberitahu tumor itu adalah kanser, ianya sungguh mengejutkan,” katanya kepada akhbar Liverpool ECHO.
Heward telah menjalani hampir 30 pembedahan selain mengikuti sesi kemoterapi dan radioterapi yang mengakibatkan dia kehilangan mata kanan serta menyukarkannya bernafas.
Bagi menutup lubang pada wajahnya, kulit dan otot daripada paha Heward diambil dan diletakkan pada bahagian rosak manakala mata palsu ditempatkan pada soket matanya pada tahun lalu. Dia kini menggunakan hidung prostetik bagi memudahkannya bernafas serta memakai cermin mata. – Agensi











