Sentuhan UMNO masih diperlukan - Utusan Malaysia

Sentuhan UMNO masih diperlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT – Rakyat masih yakin dengan kemampuan UMNO sebagai parti untuk memerintah negara ini kerana perjuangannya berada di landasan sebenar berbanding Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Khaidhirah Abu Zahar berkata, kegagalan PH menunaikan janji setelah lebih setahun memerintah negara menguatkan lagi keyakinan rakyat bahawa kerajaan PH merupakan kerajaan sepenggal.

Katanya, berbanding dengan UMNO yang semasa memerintah dahulu berpegang kepada polisi menjaga kebajikan serta kehidupan setiap rakyat sehingga menjadikan parti itu mula dirindui untuk menerajui semula negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rata-rata rakyat mula berasa kehilangan sentuhan UMNO dan meluahkan kekecewaan kerana banyak janji PH yang dibuat sebelum Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak ditunaikan sebaliknya UMNO pula yang dipersalahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Besut di Bangunan Baitul Ehsan UMNO Bahagian Besut di Jerteh, dekat sini petang ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut dan ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Khaidhirah berkata, Puteri UMNO perlu bangkit untuk menyedarkan golongan muda bahawa semasa pemerintahan UMNO, kebajikan rakyat termasuk golongan muda tidak pernah terabai berbanding sekarang.

Sedangkan sekarang jelasnya, kerajaan PH dilihat memperbodohkan rakyat dengan mengambil mudah soal kebajikan dan pembangunan ekonomi rakyat yang sepatutnya diutamakan.

“Walaupn marah dengan apa yang dilakukan oleh PH kepada rakyat, UMNO masih bersikap baik dan perkara itu terbukti apabila UMNO tidak membesar-besarkan kes video yang kononnya membabitkan pemimpin parti pemerintah itu,“ ujarnya.

Sehubungan itu tambahnya, Puteri UMNO perlu diperkasakan kerana mereka merupakan pelapis yang bakal menerajui kepimpinan parti selain mengeratkan hubungan dengan sayap-sayap terutama Wanita. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini