Semua kawanku habis – Mangsa terselamat - Utusan Malaysia

Semua kawanku habis – Mangsa terselamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 21 Jun – Kebakaran sebuah rumah yang dijadikan kilang mancis dekat daerah Langkat, Sumatera Utara me­ngakibatkan sekurang-kurang­nya 30 orang termasuk empat kanak-kanak rentung, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari di Desa Sambirejo itu, mangsa yang majoritinya wanita terperangkap selepas premis terbabit didakwa terkunci.

Ketua Bahagian Operasi Polis Binjai, Zulkarnain berkata, siasatan awal mendapati kebakaran tersebut berpunca daripada percikan api kepala mancis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, insiden berlaku ketika pekerja wanita itu sedang memasang kepala mancis sebelum percikan api berlaku secara tiba-tiba.

“Bagaimanapun polis masih melakukan siasatan bagi me­nge­tahui punca sebenar kebakaran ini.

“Seramai 30 orang mang­sa ditemukan yang terdiri daripada 26 dewasa dan empat kanak-kanak de­ngan kesemuanya telah dibawa ke Hospital Bhayangkara,” katanya ketika ditemubual CNN TV Indonesia.

Dalam pada itu, seorang daripada mangsa kebakaran yang terselamat mendedahkan, mereka keluar makan tengah hari semasa kejadian tersebut.

Lapor Tribun News, Pipit, 29, dari Dusun II Sambirejo, Binjai Utara keluar bersama tiga rakannya, Ayu Anita Sari, 29, Ariyani, 30 dan Nurasiyah, 24.

“Kawanku semua habis. Mana semua kawanku itu di dalam. Semua kawanku habis,” katanya sambil menangis.

Pipit yang telah lapan tahun bekerja di kilang itu berkata, kejadian tersebut meragut empat nyawa anak kecil yang dibawa orang tua mereka bekerja.

Gambar daripada lokasi kejadian menunjukkan mayat-mayat rentung terbaring di atas satu sama lain manakala rakaman te­levisyen menunjukkan kepulan asap dari rumah ber­kenaan.

Zulkarnain berkata, proses mengenalpasti mayat mangsa sedang giat dilakukan de­ngan polis memanggil pihak berkaitan membantu proses itu.

Katanya, sebanyak lima orang pekerja terselamat setelah pulang ke rumah bagi makan tengah hari sebelum kebakaran berlaku.

“Belum ada keterangan diperolehi berikutan mereka masih terkejut,” ujarnya.

Penduduk tempatan, Budi Zulkifli berkata, kejadian itu berlaku ketika dia mahu keluar dari rumah untuk menunaikan solat Jumaat dan mendengar bunyi letupan kuat.

Kebakaran yang meragut banyak korban kerap berlaku di Indonesia berikutan standard keselamatan rendah yang tidak diikuti.

Pada 2017, sekurang-kurang­nya 46 orang maut dan ber­belas lagi cedera dalam kebakaran kilang bunga api di luar Jakarta. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini