LONDON – Real Madrid bersedia untuk menawarkan 45 juta pound (RM236 juta) beserta pemain tengah, Dani Ceballos kepada Tottenham bagi mendapatkan Christian Eriksen.
Bagaimanapun, Mauricio Pochettino lebih berminat menandatangani Ceballos dengan membuat bayaran tunai.
Menurut media tempatan, The Sun, Ceballos telah memberitahu Zinedine Zidane bahawa dia mahu meninggalkan kelab tersebut kerana kekurangan minit permainan.
Pemain berusia 22 tahun itu kini sedang menggalas tugas bersama Sepanyol dalam Kejohanan Eropah (Euro) Bawah 21.
Ceballos menjaringkan satu gol ketika membantu pasukannya menewaskan Itali 3-1.
Madrid sudah pun mendapatkan Eden Hazard dari Chelsea namun Eriksen tetap menjadi pilihan utama pada musim panas ini.
Eriksen masih mempunyai baki kontrak selama setahun telah memberi bayangan bahawa dia mahu meninggalkan Spurs.
“Saya berasa karier saya memerlukan sesuatu yang baharu,” katanya. – AGENSI











