MADRID – Bintang Liverpool, Mohamed Salah berjaya menebus semula kekecewaannya pada final Liga Juara-Juara (UCL) tahun lalu dengan menjulang gelaran tahun ini selepas membantu pasukannya menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 pada aksi final di Stadium Metropolitano, Madrid awal pagi semalam.
Salah terpaksa dikeluarkan selepas beraksi selama 30 minit pada edisi 2018 akibat cedera di bahu ekoran pertembungan dengan kapten Real Madrid, Sergio Ramos.
Namun, pemain antarabangsa Mesir itu berjaya beraksi sepanjang 90 minit permainan pada edisi kali ini dan turut meletakkan pasukannya di depan 1-0 seawal minit kedua permainan.
“Sebelum final, saya lihat semula gambar pada tahun lalu yang mana kami sungguh kecewa apabila tewas kepada Real. Saya juga sangat sedih kerana mengalami kecederaan. Saya hanya sempat beraksi 30 minit dan kemudian kami kalah.
“Kekecewaan ini telah memberi motivasi kepada saya untuk menang hari ini (semalam). Apabila kamu merasai kekalahan, kamu akan beritahu diri sendiri supaya bangkit dan memenanginya semula,” jelas Salah.
Pada aksi semalam, Salah menjaringkan gol pertama The Reds menerusi penalti selepas bola sepakan Sadio Mane terkena tangan pemain Spurs, Moussa Sissoko ketika permainan baru bermula selama 23 saat.
Divock Origi kemudian melengkapkan kejayaan mereka menerusi gol kedua lima minit sebelum permainan tamat, sekali gus menghampakan Spurs yang sebelum itu cuba mencari gol kebangkitan.
“Saya rasa perlawanan hari ini menguji kekuatan mental kami. Kami perlu percaya kepada diri sendiri dan itulah yang kami pamerkan sepanjang permainan.
“Semua yang berlaku pastinya mempunyai sebab tersendiri dan tahun lepas apabila kami kalah di final, saya fikir ia adalah petanda supaya kami bangkit dan memenanginya kali ini,” katanya. – AFP











