Rondaan JPJ Perak di Terowong Menora, Gua Tempurung dipertingkat sempena raya - Utusan Malaysia

Rondaan JPJ Perak di Terowong Menora, Gua Tempurung dipertingkat sempena raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan meningkatkan lagi penguatkuasaan dan rondaan di sekitar Terowong Menora dan Gua Tempurung selepas dikenal pasti sebagai kawasan yang kerap berlaku kemalangan di Perak.

Pengarah JPJ Perak, Severinus Tukah berkata, penguatkuasaan dan rondaan tersebut diaksanakan terhadap kenderaan terutamanya kenderaan perdagangan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya pada musim perayaan.

“Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam perbincangan sebelum ini menyarankan JPJ meningkatkan penguatkuasaan di kawasan kerap berlaku kemalangan di lebuh raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi kami memilih Terowong Menora dan Gua Tempurung sebagai kawasan yang perlu diberi perhatian lebih pada musim perayaan kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika turun padang menyertai Op Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri di Jalan Greentown di sini malam tadi.

Tambah Severinus, seramai 431 anggota termasuk Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) akan ditugaskan di sepanjang 224 kilometer (km) Lebuh Raya Utara-Selatan di negeri ini selama 23 hari bermula 22 Mei lalu.

“Mereka juga turut terlibat dalam melakukan rondaan dan penguatkuasaan di jalan persekutuan sejauh 1,516 km dan jalan negeri 25,005 km.

“Selain itu, anggota JPJ turut melakukan penyamaran sebagai orang awam bagi mengesan pemandu bas ekspres yang melanggar peraturan,” katanya.

Katanya, sehingga semalam, dua pemandu bas ditahan selepas positif dadah jenis ganja dan syabu dalam operasi yang dijalankan di Terminal Bas Meru Raya dan Terminal Bas Teluk Intan.

“Sebanyak 639 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya bagi tempoh 29 Mei sehingga semalam (kelmarin).

“Selain itu, sebanyak 627 notis saman turut dikeluarkan pada Op Khas Motosikal selepas 1,420 motosikal diperiksa semalam (kelmarin),” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini