JOHOR BAHRU – Tiga Kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tampoi di sini berada dalam keadaan ‘yang sangat dahsyat’ dan perlu dinaik taraf bagi membolehkan anggota polis memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, unit kediaman paling terjejas teruk merupakan tingkat teratas, iaitu tingkat kelima.
“Sekiranya kita mahu Malaysia menjadi negara bertaraf dunia, polis kita juga perlu menjadi bertaraf dunia.
“….dan sekiranya kita mahu polis bertaraf dunia, kebajikan mereka khususnya kediaman perlu dijaga, namun apa yang saya lihat kuarters polis di sini dalam keadaan yang sangat dahsyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke kediaman polis di Taman Kenanga, Taman Melati dan Taman Melur, di Tampoi, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md. Din.
Tambah Kit Siang, sehubungan itu pihaknya turut menyumbang peruntukan RM1 juta kepada polis negeri ini untuk melakukan penambahbaikan di kawasan terlibat.
“Berdasarkan anggaran, polis memerlukan RM70 juta untuk memperbaiki keseluruhan tiga taman perumahan ini namun jumlah yang diperuntuk kerajaan hanya RM20 juta,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











