KUALA LUMPUR – Selepas berjaya menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi acara recurve individu lelaki, kini skuad memanah negara mahu mengalih tumpuan dalam acara recurve berpasukan pula.
Ketua jurulatih memanah negara, Lee Jau Hyung berkata selain Piala Dunia di Berlin tahun depan, pemanah negara juga berpeluang merebut satu lagi slot ke Olimpik di Kejohanan Memanah Asia di Bangkok pada November ini.
Beliau berkata Kejohanan Memanah Asia menawarkan satu lagi slot untuk acara individu manakala saingan Piala Dunia pula menawarkan slot dalam acara berpasukan.
Pemanah negara Khairul Anuar Mohamad telah mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik dalam acara recurve individu biarpun meraih pingat perak di Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda.
Olimpik Tokyo 2020 akan menjadi penampilan ketiga buat Khairul Anuar selepas turut layak beraksi pada London 2012 dan Rio 2016.
”Persiapan kita akan tertumpu kepada Kejohanan Asia (November), Bangkok dan Piala Dunia Berlin tahun depan. Di Bangkok kita akan dapatkan satu lagi slot individu.
“Bagi acara berpasukan, tahun depan. Ia seperti juga sebelum ini, kita layak pada saat akhir. Cuma kali ini saingan sengit dari Amerika, Itali dan Peranchis yang juga belum layak.
“Persiapan rapi dari segi keadaan cuaca, keadaan atlet, semua itu penting kerana kondisi pemanah pada hari pertandingan itu penting. Jika persiapan kita cukup, tidak susah untuk kita layak,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu.
Mengenai persiapan Khairul Anuar pula, Lee berkata atlet kelahiran Kemaman, Terengganu itu akan meneruskan latihan bersama-sama pemanah lain kerana beliau akan turut membantu pasukan negara di Piala Dunia nanti.
Katanya, pada Julai ini, Khairul Anuar dan pemanah lain akan ke Tokyo, Jepun untuk menghadapi pertandingan ujian di venue sebenar acara memanah akan berlangsung nanti.
“Kita cadang, selepas pertandingan ujian, kita mahu jalani latihan di sana selama seminggu. Tapi ia terpulang kepada perancangan Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya. – BERNAMA











