KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan yang disyaki memperdayakan mangsanya dengan menyamar sebagai anggota polis menggunakan nama ‘Polis Boy’ berjaya diberkas.
Memetik laporan Utusan Borneo, suspek berusia 23 tahun itu dipercayai menyamar sebagai anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Sabah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Nor Azizulkifli Mansor berkata, suspek ditangkap di luar sebuah kedai runcit di Dumpas, Tawau, Sabah pada pukul 1.45 petang semalam.
“Siasatan awal polis menunjukkan mangsa menyerahkan wang tunai RM2,000 kepada seorang lelaki yang dikatakan diarahkan oleh ‘Polis Boy’ kononnya untuk pembebasan seorang jiran pengadu yang ditangkap kerana melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Seminggu kemudian, mangsa menghubungi ‘Polis Boy’ sebelum diberitahu bahawa jiran pengadu masih belum dibebaskan kerana duit bayaran masih kurang RM500. Bagaimanapun, mangsa bimbang ditipu dan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis,” katanya.
Tambah Norazizulkifli, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis turut merampas wang tunai RM500 serta borang perjanjian daripada suspek. – UTUSAN ONLINE











