SEMPORNA – Polis berjaya menyelesaikan 18 kes pecah rumah dan curi harta benda dengan penahanan 10 lelaki dalam satu operasi di sekitar daerah Semporna, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Sabarudin Rahmat berkata, dua warga tempatan serta lapan warga asing dalam lingkungan umur antara 23 dan 60 tahun itu ditahan antara pukul 10 malam sehingga pukul 5 pagi dalam Op Sarang Bersepadu pada Khamis lepas.
“Antara yang dirampas adalah empat unit televisyen, tiga unit komputer riba, 10 unit telefon bimbit, empat utas jam tangan, tiga beg tangan wanita berjenama serta lima hiasan dinding Al-Quran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya semua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
Sementara itu, Sabarudin berkata, Op Sarang Bersepadu sehingga 23 Jun lepas itu turut menyaksikan polis menahan seorang wanita dan dua lelaki dipercayai pengedar dadah di Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Batu di sini.
Jelasnya, ketika ditahan, wanita berusia 52 tahun itu memiliki dadah jenis syabu bernilai RM4,650 dengan anggaran berat 31 gram, manakala dua lelaki berumur antara 21 dan 19 tahun itu ditahan bersama 5.20 gram dadah syabu bernilai kira-kira RM760.
“Secara anggaran, jumlah dadah yang dirampas itu mampu menampung bekalan kira-kira 500 penagih,” katanya.
Ujarnya, dalam tempoh sama pihaknya turut menahan lapan penagih dadah, serta lima lelaki warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Tambah Sabarudin, polis merampas 1,630 bungkus kecil rokok jenama Astro dan Premium di dalam sebuah bas penumpang di Jalan Kilometer 14 Semporna-Tawau pada pukul 5 pagi hari ini.
“Kesemua rokok itu dimasukkan dalam tujuh kotak besar minuman dan dikirimkan dalam bas daripada Kota Kinabalu ke Semporna. Tiada tangkapan dilakukan ekoran tiada nama direkodkan untuk penerima kotak rokok tersebut,” katanya. – BERNAMA











